Thursday, September 3, 2015

Enam (6) Prinsip Rukun Niaga Malaysia

1. Berlaku Benar Dalam Perniagaan:
Perilaku peniaga menuju kepada perkara-perkara benar termasuk niat dan aqad jual-beli, pemikiran, perbuatan dan pertuturan.

Contoh: Peniaga tidak harus sengaja menyembunyikan kecacatan yang ada pada keluaran semata-mata untuk mengaut keuntungan. Sama juga keadaannya apabila dengan sengaja memanipulasikan bekalan sesuatu barangan bagi tujuan untuk meningkatkan harga.

2. Bertanggungjawab Kepada Pelanggan, Masyarakat Dan Persekitaran:
Bertanggungjawab terhadap pelanggan, masyarakat dan persekitaran dalam sebarang tingkahlaku dan keputusan yang diambil.

Contoh: Menjual barang dengan harga yang berpatutan atau memberikan perkhidmatan yang kualitinya setimpal dengan bayaran yang dikenakan. Sayugia, segala barangan atau perkhidmatan yang kualitinya setimpal dengan bayaran atau perkhidmatan yang diberi tidak menjejaskan kepentingan masyarakat dan persekitaran.

3. Berperikemanusian Kepada Semua Insan:
Mempunyai perasaan kasih sayang dan saling menghormati sesama manusia, lemah lembut, pemurah dan saling membantu. Tingkahlaku dan keputusan yang diambil mestilah mempertimbangkan kepentingan semua pihak dan bukan kepentingan perniagaan itu sahaja.

Contoh: Sekiranya seorang pelanggan telah membuat kesilapan semasa pembeliannya, dan ingin menukarkan sama ada dalam bentuk barangan lain atau mendapatkan kembali wangnya, peniaga harus bersetuju demi tanggungjawab sosial terhadap semua insan.

4. Kesederhanaan Tingkah Laku Dalam Perniagaan:
Mengamalkan sifat rendah diri, tidak bermegah-megah, tidak sombong, tidak keterlaluan, tidak tamak dan tidak berjimat cermat daripada segala segi.

Contoh: Seseorang peniaga yang berjaya tidak seharusnya lupa daratan, sebaliknya masih sanggup bersikap timbang rasa serta memberi sumbangan dan sokongan kepada mereka yang memerlukannya.

5. Saksama Terhadap Pelanggan:
Tindakan yang diambil tidak hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja, layanan sama rata tanpa mengira kaum, kelas atau darjat dan tidak berat sebelah.

Contoh: Seseorang peniaga sepatutnya tidak membezakan antara pelanggan, sama ada orang kenamaan atau rakyat biasa di dalam urusan perniagaan mereka, kerana wang itu adalah sama nilainya.

6. Kesungguhan Menjayakan Perniagaan:
Membuat sesuatu dengan tekun, rajin dan penuh kesabaran, tidak mudah mengaku kalah, berani menanggung risiko dan sanggup berusaha bermati-matian.

Contoh: Apabila menceburi bidang sesuatu perniagaan, peniaga tidak seharusnya merasa gusar dengan peniaga-peniaga yang sedia ada, apa yang penting adalah bagaimana kejayaan peniaga lain dapat mendorongnya untuk berjaya.

Sumber :  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

No comments:

Post a Comment